Monday, January 31, 2011

Hobi Baru..

Lihatlah gayanya...
Sibuk belajarlah tu konon-konon.
Inilah hobi baru aisya. Pantang nampak kertas pasti dicarinya pen atau pensil warna kakak untuk menconteng. Bila dah dapat, tak kira tempat pasti dia akan merebahkan badannya dan meniarap. Lagaknya dah macam budak besar. Seronok sangat tengok telatah dia. Semoga sifat rajin nak belajar aisya ni berkekalan sampai besar. Jadi anak yang rajin belajar dan bijak ye sayang. Ibu sayang aisya dan kakak.

Kekuatan & Ketabahanmu kupinjam..

Sabtu..hari yang amat bermakna untuk saya kerana pada hari tersebut saya dapat berjumpa dan mengenali mereka..ibu-ibu tabah bersama anak-anak mereka yang kuat berjuang.Sungguh saya teruja untuk berjumpa mereka kerana selama ni saya hanya membaca cerita dan luahan mereka melalui blog dan tidak malu saya akui ketabahan, kekuatan dan semangat merekalah yang selama ini saya pinjam (secara diam - diam) dalam merawat dan menjaga permata hati saya - aisya. (kerana sebelum saya mengenali dunia blog, saya rasa sangat tertekan : bersendirian, menangis dan menangis - terima kasih ina!)

Bermula dengan perjumpaan di rumah Put (mama Lope dan Phia yang sporting) walaupun asalnya plan kami mahu berdating di taman PICC. Keadaan cuaca yang tidak baik - hujan, mengheret kami sampai ke pintu rumah Put. Hehehe..padahal kami satu blok sahaja. Seronok bersama mereka...melihat telatah Lope dan Phia yang comel. Asyik sekali Lope menonton rancangan kartun kegemarannya. Phia mulanya malu-malu tapi akhirnya dah boleh 'geng' ngan aisya.Hahaha... Aisya dan kakak? Huh..habis segala macam permainan yang ada dalam rumah itu dicubanya. Sungguh xmalu anak-anak ibu nih. Tak lama di sana, muncul Zura sekeluarga. Melihat Habib yang suka tersenyum..comei sekali. Ternyata dia faham setiap apa yang diperkatakan. Bijak kamu habib. Sempat saya ambil dan main bersamanya. Tidak pula dia menangis.Hihihi..sempat saya mengusik mahu membawanya balik. Namun, apabila sampai di luar pintu rumah, tangisan dah bergema. Memang cerdik. Tak lama kami di sana kerana saya perlu balik menunaikan solat maghrib dan memandikan anak-anak2. Put..terima kasih banyak-banyak yer. Siap sediakan makanan lagi untuk kami.

Malamnya..kami di jemput ke rumah ita. Cadangan asalnya mahu konvoi dengan put namun keadaan lope tidak mengizinkan Put untuk turut serta dan saya juga pada mulanya mahu membatalkan rancangan ke sana. Namun bila ita sms mengatakan mahu menunggu dan ina turut berada di sana, hati begitu teruja dan meronta mahu bertemu mereka. Kebetulan saya mahu ke rumah abah di Serdang dan jarak rumah ita dan serdang tidaklah jauh. Saya nekad meneruskan pemanduan ke rumah ita walaupun dah lewat. En.Hubby tidak mengikuti kami kerana pada hari tersebut dia menjayakan Hari Wilayah. Nasib baik ada adik-adik yang setia menemani saya ke hulu ke hilir.Tidak susah mencari rumah ita kerana sepanjang perjalanan ita menelefon memberitahu arah jalan ke rumahnya dan mungkin saya juga dah biasa dengan kawasan tersebut. Pn.Ita dah setia menunggu menjemput kami di luar.

Rupanya selain ina, family zali, ieda dan aiman pun ada.Wah..beruntung sungguh saya kerana dapat berkenalan dengan sebahagian keluarga superkids nih. Kedatangan kami di sambut dengan mesra. Ternyata mereka semuanya peramah dan xsombong. Serius saya cemburu dengan tali persahabatan mereka yang dah bagai keluarga nih. Begitu akrab sekali malah saya yang berada dalam kelompok mereka jadi tidak malu untuk bersembang seperti dah lama kenal. Sangat saya hargai persahabatan ini. Selama ini saya hanya baca di dalam blog kisah dan gambar-gambar mereka tapi akhirnya saya bertemu juga sebahagian dari mereka. Sambil bercerita, berborak sakan..kami dihidangkan makanan yang disediakan sendiri oleh En.Farid. Memang beliau ada bakat seorang chef. Thumbs up!

Anak-anak?? aisya sebenarnya memang dah tidur dari dalam kereta lagi. Tapi sebaik sahaja diletakkan atas tilam, terus mata terbuka. Dari termangu-mangu akhirnya habis serata rumah ita dia teroka. Kakak seperti biasa memunggah mainan yang ada di rumah orang. Huhhh..anak-anak, walaupun dah dipesan..seringnya lupa. Nabila ketika sampai sedang merengek nak tidur..so, tak sempat ibu ayu nak memegang dan bermain dengannya. Alisya pula ketika sampai behave sekali duduk dipegang abinya. Cantik sekali anak itu. Sempat saya memegang dan mendukungnya sebelum balik. Begitu juga aiman. Diam dalam ribaan ibunya, ieda. Bila saya ambil dan riba..dia diam namun xlama selepas tu dia mula menangis. Rupanya ieda bagitahu dia memang xmahu orang lain. Sungguh...saya rasa sangat bertuah kerana dapat mengenali malah memegang anak-anak syurga ini. Doa ibu semoga kalian akan terus kuat untuk berjuang anak-anakku. Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segalanya. Untuk Put, Zura, Ita, Ina dan Ieda...terima kasih kerana memberi ruang untuk ayu mendekati dan berkenalan dengan kalian. Moga tali ikatan persahabatan ini berkekalan ke akhir hayat. Lain kali nak lepak-lepak lagi bagitahu yer..ayu xpernah serik nak jumpa korang.Hahaha..

p/s : Jiey..kan best kalau jiey ada.Dah lama teringin nak jumpa rayyan. ;P huhuhu..
Teringin nak buat satu pertemuan besar dengan semua ibu-ibu blogger yang tabah. Ayu Alanna, Mamanurin, K.Nani Iman, K.min Mawaddah, jue ainie, mawar, k.ieda, icasyaziera dan semuanyalah (ramai sangat..jgn kecik ati ye saya xtaip nama.)Kalian memang ibu yang kuat dan tabah.

Friday, January 28, 2011

Tangisan Dalam Tidur


Pagi tadi ibu ke pejabat dengan rasa yang berbelah bagi kerana meninggalkan aisya yang sedang dalam tangisan kepada cik til dan babah. Harapnya kamu ok - ok saja sayang. Ntah apa sebabnya malam tadi tidur anak ini kerap terganggu oleh esakan dan tangisan. Adalah dalam 4,5 kali. Bukan sebab laparkan susu. Bukan juga kerana pampers yang basah. Mulanya fikir ibu mungkin mengigau kerana penat bermain di siang hari atau 'nightmare' kah dia? Namun apabila berterusan rengekannya...umpama ada yang tidak kena. Sakitkah kamu wahai anak? Ceritalah..beritahulah ibu sebabnya. Bingung sekali fikiran ibu. Sukarnya memahami kemahuanmu. Andainya kau bisa melahirkan ketidakselesaanmu itu, pasti mudah saja ibu membantumu nak. Ini hanya tangisan dan esakan sahaja yang terzahir. Yang tersuratnya? Hanya kau dan Allah sahaja yang tahu. Setiap kali terjaga dengan bunyi tangisan itu, ibu angkat dan peluk aisya, ibu dodoikan dia. Setelah beberapa ketika barulah aisya kembali lena. Tidurlah nak..jangan buat ibu risau ( Dalam fikiran mula membayangkan yang bukan-bukan. En. sawan tolonglah jangan dekati anak saya! Kami baru nak menikmati gembira. Jangan ulangi lagi kesedihan lalu ) Tangisan dalam tidur berulang sehinggalah ke pagi tadi. Ikutkan hati memang mahu ambil cuti kecemasan namun memikirkan yang bulan Februari banyak cuti perlu diambil untuk temujanjinya (Pak Ngah Aisya kahwin, EEG Test-HKL, Audio, Fisioterapi, Terapi cara kerja, Opthalmology) maka perasaan itu terpaksa ditahan. Lagipun ibu dah periksa suhu badannya, normal. Pada cik til ibu berpesan tolong pantau aisya, sekiranya berlaku apa-apa segera hubungi ibu.

Kisah aisya berjalan beberapa hari lepas, tidak berlanjutan dengan baik :( (Ada mode kecewa dan sedih sedikit di situ, wahai ibu tolong jangan patah semangat!) Ntah mengapa di rumah aisya langsung xmahu cuba berjalan. Dia hanya mengengsot seperti selalu. Walaupun kami cuba paksa supaya dia berjalan namun bila pegangan tangan dilepaskan dia akan terus duduk dan kembali mengengsot untuk ke sana sini. Bila ditanya pada teman-teman dan tok abah, mereka cakap mungkin aisya nak selalu ke taman. Kata mereka, bila aisya excited tengok kawan-kawan berjalan baru dia berani nak melangkah. Begitukah??

P/s : Baru lepas call cik til..katanya aisya ok sahaja. Bermain seperti biasa. Alhamdulillah.
Kawan-kawan..nak tanya, ada tak sesiapa yang tahu kat mana ada jual kasut budak dengan saiz kecil (aisya pakai 6 bulan++ punya size) sebab saya nak cari kasut yang betul2 untuk budak berjalan, sekarang aisya pakai kasut-kasut baby yang tapak lembut tuh jer(untuk baby yang belum berjalan). Therapist suruh tukar pakai yang tapak keras/tebal. Dah puas cari tapi xjumpa size kecik (paling kecik size 20). Kalau sesapa tahu tolong inform saya yer. Thank's.

Thursday, January 27, 2011

Entry untuk 'mereka'

3 kisah dalam satu entry.(ntah kenapa saya bercerita)

Kisah 1:

Pernah satu waktu (dalam bulan 11 tahun lepas kot), semasa saya menghadiri sesi fisioterapi dan terapi cara kerja untuk aisya, saya berjumpa seorang ibu, nenek dan cucunya yang comel.Anak itu berumur 2 tahun ++. Hanya terbaring. Yang menjadi kekesalan saya kerana terapist memberitahu saya bahawa anak itu sebenarnya 'lebih baik' dari aisya sebelumnya tetapi mamanya xbawak datang temujanji terapi, xbuat apa yang terapist suruh kat rumah dan dalam ertikata lain 'hanya membiarkan anak itu tanpa sebarang rawatan dan pemulihan'. Aduh..kasihan sungguh kamu wahai anak. Andai saya boleh menjaganya..membantu merawat dan memulihnya. Saya sanggup! Mengapa dibiarkan perkembangan dan potensi anak itu membantut? Malah semakin mundur dan terus mundur! Saya sempat bercakap dengan nenek anak itu. Rupanya anak itu dijaga dan tinggal dengan nenek tua itu. Mamanya duduk di tempat lain dan hanya melawatnya sekali sekala.Sebab itulah anak itu jarang sekali datang terapi.Tiada orang yang dapat menghantar mereka. Sedih sekali.

Kisah 2:

Dan yang terbaru, beberapa minggu lepas...sungguh saya terkilan kerana xsempat meminta no.telefon keluarga ini.Cadangnya mahu ibu ini berkenalan dengan sahabat-sahabat blogger saya (ibu-ibu CP yang kuat dan tabah!). Menurut ibu tersebut anak bongsunya yang berumur 5 tahun itu sihat dan normal pada awal kelahiran sehinggalah usianya 3 tahun ++.Boleh bercakap, berjalan, berlari, main basikal dan sebagainya seperti anak-anak sihat yang lain. Namun kejadian anaknya selsema (SELSEMA sahaja TANPA DEMAM pun) dan diikuti muntah meragut kegembiraan mereka menjadikan anaknya kini OKU. Anak itu bernama Maisara-baru sahaja menjalani operation tebuk lubang di leher kerana anaknya mempunyai masalah susah bernafas. Maisarah anak yang cantik. Datangnya bersama stroller yang telah diubahsuai oleh ayahnya. Dia boleh bercakap tapi perlahan. Keadaannya seperti anak CP. Kaki dan tangannya kurus. Sungguh saat saya mencium dan membelai rambutnya sebelum aisya ke sesi terapi cara kerja..hati ini sebak sangat namun saya tahan agar airmata ini xjatuh supaya ibu itu terus kuat. Ibu itu acapkali bertanya saya di mana saya mengurut dan berubat aisya selepas therapist memberitahunya bahawa dulu aisya juga xboleh buat apa-apa. Sewaktu bersalaman dan memeluk ibu itu, apa yang dapat saya bisikkan, 'akak perlu kuat..jangan putus asa. Teruskan ikhtiar. Saya doa semoga dipermudahkan untuk Maisarah'. Sungguh saya menyesal atas sikap lupa saya kerana xmintak no.telefon akak tuh. Sampai di rumah pun masih teringat-ingat.HUH!!!

p/s: berdoa agar akan ada lagi pertemuan antara kami nanti.

Kisah 3:


Pagi semalam..semasa dalam perjalanan ke pejabat, seperti rutin saya on kan radio kereta.Ketika itu channel di 'radio Era' yang berkumandang memaparkan program 'merisik khabar' (saya suka dengar program ini). Dalam asyik melayan stereng kereta, telinga tertangkap satu suara seorang ibu yang sebak menceritakan kisah anaknya yang berumur 5 tahun yang masih belum boleh bercakap. Punat volume saya kuatkan.Kerisauan dan kesedihan seorang ibu bila mana anaknya yang dihantar ke sekolah tadika hanya mampu kedepan dan senyum.Tidak bersuara apabila ditanya guru & kawan-kawan, tidak menjerit gembira bila melakukan aktiviti kelas, hanya diam membisu. Ibu itu sedih/risau bagaimana keadaan anaknya bila masuk sekolah rendah nanti(7 tahun). Sungguh saya terkesan dengan kisah ibu (wati) itu. Airmata turut sama meleleh mendengar ceritanya. Owh, betapa saya selalu tewas dengan perasaan dan airmata..(ratu airmata betullah kamu ni ayu! ;P ). Tak salah pendengaran saya anaknya itu sihat, normal cuma masih belum bercakap. Saat dan ketika itu juga, ingatan saya terus kepada aisya. Mungkin begitu juga keadaan saya bila aisya menginjak ke usia 5 tahun? Ketika dia perlu dihantar bersekolah? Sedangkan sekarang pun saya begitu cemburu bila mendengar anak-anak yang seusianya begitu petah berbicara memanggil ibu, mama, mak, ummi, mummy sedangkan anak saya??? Diam tanpa sebarang kata. Allahuakhbar...tamaknya saya. Lepas satu persatu keinginan saya pohon dan mahukan dariNya. Tidak bersyukurkah saya dengan apa yang telah saya dapat hari ini? Penatkah anak kecil saya itu dengan sikap ketamakkan saya? TIDAK! Saya tidak tamak malah saya terlalu bersyukur atas apa yang saya ada sekarang.Tapi semua itu untuk kebaikkannya, untuk masa depannya. Bukankah sebagai seorang ibu kita mahukan hanya yang terbaik untuk anak kita? Kita perlu usaha...usaha...usaha untuk mendapatkannya dan setelah habis berusaha, seandainya itu yang ditentukan olehNya, takdir buatnya...saya REDHA.

p/s: Buat Wati, ibu itu (ceh, macamlah dia baca blog picisan aku nih.hahaha) Sabarlah, kuatlah dan teruskanlah ikhtiar..usaha untuk anak itu.Cuba jmpa doc yang arif tentang ini. Insyaallah..

Wednesday, January 26, 2011

Alhamdulillah..akhirnya usaha itu membuahkan hasil

Salam semua....
Setinggi syukur dan sebutan alhamdulillah masih xputus dari bibir saya sejak dari petang semalam.Dan kejadian itu memberi impak yang besar dalam diri saya.Saya rasa sungguh bersemangat untuk terus berusaha dan yang pastinya senyuman yang terukir sejak pagi tadi semuanya mempunyai kaitan dengan kejadian petang semalam.Di mata ini masih lagi terbayang-bayang rakaman cerita semalam.Peristiwa itu menjadi antara moment terindah saya sepanjang bergelar IBU...

Balik jer dari pejabat, saya membawa kakak ke taman permainan yang berada di bawah.Aisya dan cik til sememangnya berada di taman kerana latihan berjalan aisya MESTI diteruskan setiap hari walaupun tanpa kehadiran saya tidak kira sama ada di dalam rumah mahupun di taman - jika cuaca baik selain cuba untuk memberikan dia pendedahan sosial.(Yer, saya sememangnya amat tegas berkenaan segalanya tentang aisya-kerana saya hanya mahu yang terbaik untuknya)Setibanya saya di taman, saya lihat aisya bermain buaian.Suka benar nampaknya dia.Senyuman xlekang dari bibir yang comel itu.

Tanpa saya sedar (kerana sibuk duk tengok kakak dan beberapa lagi kanak-kanak bermain) saya berpaling dan melihat aisya.Terkedek-kedek kaki kecil itu melangkah ke arah saya sambil tangan ke depan, badan terhoyong hayang untuk mengimbangkan diri daripada jatuh.Sungguh..saya terpegun.Subhanallah!Terpegun mata ini melihat aisya dah pun boleh melangkah lebih dari 5 langkahan tanpa ada tangan yang memimpin.Comel sekali kaki kecil itu melangkah walaupun nampak kekok dan lambat.Kerna sebelum ini apabila di rumah, aisya TIDAK PERNAH pun melakukan aksi tersebut.Begitu juga jika ke sesi fisio. Berpuluh malah beratus kali kami cuba melepaskan tangan kecil itu berjalan tanpa bantuan, namun apabila tiada pegangan di jarinya dia akan terus duduk dan mengengsot.Seketika kemudian saya menjerit 'Aisya dah boleh jalan!'.Ayat pendek itu saya ulang berkali-kali sambil mendapatkannya.'Aisya dah boleh jalan sayang.'Saya peluk dan angkat dia.Saya cium pipinya berkali-kali.'Alhamdulillah..syukur Ya Allah'.Sungguh saat itu airmata ni bergenang.Saya sebak.Anak kecil saya yang berumur 1 tahun 10 bulan kini dah pun boleh berjalan.Rasanya mahu saya laungkan pada semua yang aisya dah pandai berjalan.Walaupun hakikatnya baru berjalan jatuh namun saya puas kerana itulah balasan di atas segala usaha dan ikhtiar kami.Ibu-ibu yang berada di taman itu hairan malah ada yang bertanya.'Berapa umurnya nih?'.Sambil tersenyum saya menjawab '1 tahun 10 bulan.' 'ooo..lambat jalan.baru nak berjalan lah nih?' 'kecik ye badan dia.xnak makan ker?'Saya hanya tersenyum.Katalah apa sahaja kerana di fikiran saya waktu itu, anak saya akhirnya dah pun pandai berjalan.Alhamdulilah..alhamdulillah..alhamdulillah.

Aisya yang dulunya lembik...terbaring lebih 1 tahun 5 bulan tanpa meniarap dan merangkak, kini setelah bermula dengan duduk tanpa sokongan (1 tahun 5 bulan), dari baring belajar bangun duduk sendiri tanpa bantuan (walaupun xseperti bayi normal - mengiring tekan tangan baru boleh duduk - 1 tahun 6 bulan ++), mengengsot (1 tahun 8 bulan), berdiri dengan bantuan (1 tahun 9 bulan) dan kini dah mula bertatih tanpa sebarang sokongan (1 tahun 10 bulan).Apa sahaja yang dicadangkan bagus untuk anak ini saya cuba lakukan.Tanam badan, teknik urutan, berenang, pijak embun pagi, latihan, berubat dan segalanya.Anak kecil ini yang dulunya memakai bantuan oksigen selama 6 bulan.Berarak dengan tong gas ke sana - ke mari.Anak kecil ini yang ditakutkan tidak akan dapat berjalan kerana air tulang belakangnya diambil 2 bulan lepas.Anak kecil ini yang mengalami serangan sawan berkali-kali.Itulah dia Aisya - anak kecil istimewa saya.Satu pencapaian yang sangat membanggakan pada saya bagi anak bermasalah developmental delay yang mengikut ulasan cikgu OT nya DELAY 1 TAHUN! Syukur Alhamdulillah atas nikmat yang tidak terhingga ini.
Ibu bangga denganmu nak!

* Malam tadi ibu tenggelam dalam tangisan setelah menunaikan solat sujud syukur.Insyaallah...ada beberapa nazar yang ibu perlu tunaikan setelah aisya benar-benar sihat dan boleh berjalan sepenuhnya.Syukur alhamdulillah!

xdapat kertas,perut pun jadi!

Kejadian ni berlaku malam tadi semasa ibu solat maghrib.

Usai solat maghrib, ibu mendapatkan aisya yang sedang asyik melukis.Hah?nak tau apa yang dilukisnya?Lihatlah gambar di bawah ;P

Kreatif kan saya?xperlu peralatan lain.Cukup dengan sebatang pen.huhuhu...

Asyik betul dia menconteng

Lihatlah badan saya.Cantik tak?
(budak baru lepas kena marah)
Sebenarnya time tu aisya baru jer lepas dimandikan dan ibu lom pakaikan baju tidur lg.Ingat pas sembahyang baru nak pakaikan.Rupa-rupanya kulit badan dah dijadikan satu alat baru untuk dia melukis.Tak dapat kertas, badan pun jadi yer?Aisya-aisya... bijak betul anak ibu nih.

Tuesday, January 25, 2011

Seraut wajah cekal tertumpah seluruh kasih..

Anak kecil yang ketika itu tidak diberikan sebarang harapan oleh pakar!
Muka aisya separuh dari tapak tangan ibu.Lihatlah tangannya yang biru kehitaman,
kesan dari cucuk - ambil darah setiap hari
Tajuk macam novel cinta pulak.Hihihik..saja nak meluah rasa dan melayan perasaan mengingatkan kenangan lalu.

Dulu...saat diberitakan anak yang ibu kandung mempunyai masalah, ibu rasa sedih sangat.Ibu jatuh terduduk.Dunia rasa gelap seketika.Huru hara rasanya hidup nih.Tengah-tengah drive selepas balik dari check up tu call babah bagitahu apa yang doc cakap sambil tersedu sedan.Airmata xusah ceritalah..Selepas itu, ibu sibuk mengajak babah ke beberapa buah klinik swasta lain (SJMC, KPMC, Poliklinik Az zahrah, Poliklinik An-nur dan macam-macamlah klinik yang orang cakap bagus).Tujuannya ibu nak scan bayi dalam kandungan ibu dan dapatkan kepastian tentang apa yang klinik kerajaan tu bagitahu.Tetapi ternyata, jawapan yang ibu terima daripada pakar-pakar tersebut adalah hampir sama! Bayi puan saiznya terlalu kecil dari usia yang sepatutnya dan ujian doppler yang dijalankan keatasnya seperti ada masalah, BAYI PUAN STRESS di dalam.99.9% puan perlu melahirkan melalui kaedah cesarean.Ketika itu syaitan mula membisikkan agar ibu menyalahkan takdir, menyesali nasib malang yang bakal terjadi.Sungguh ibu lemas dalam emosi dan tangisan yang tidak pernah kering.Setiap saat ibu merenung memikirkan nasib bayi yang berada dalam kandungan.Mujur keluarga terutama tok abah banyak mengejutkan ibu, dari terus tewas dan tertiarap xbangun-bangun.

Bayi stress? putus asa ibu memikirkannya.Malah sehingga kini ibu belum temui jawapannya walaupun telah bertanya pada yang pakar.kenapa pulak baby stress?Kalau nak kata ibu stress, ibu xrasa ibu tertekan pun sebelum mendapat berita itu.Sesudah tahu berita ini iyer..ibu akui ibu sering menangis.ibu jadi terlalu sensitif.Bermula dari saat itu (usia kandungan +-6 bulan) ibu dah jadi pengunjung tetap klinik pakar O&G Hospital serdang dan penghuni setia wad 5E / 5F.Dua minggu di wad, seminggu di rumah (dapat balik pun sebab merayu-rayu sambil menangis sedu sedan depan doktor pakar mintak balik, rindu kat kakak yang ketika tu baru berumur 21 bulan).Ibu dapat MC sepanjang 2 bulan sebelum bersalin kerana menurut doktor pakar ibu langsung tidak boleh bekerja dan berfikir kuat.Hanya bed rest! Begitulah seterusnya sehingga ibu melahirkan anak kecil yang kuat ini pada minggu ke34 kandungan.

Pertama kali melihat wajah suci anak ini sungguh ibu jatuh cinta.Biar pun kecil 1.27kg (sebesar botol air mineral/flask yang kecil) namun terlihat sinar kekuatan pada anak itu.Ibu cakap aisya anak yang kuat kerana walaupun seramai 7 orang doktor pakar yang ibu temui mengatakan aisya tidak akan survive jika dilahirkan secara normal (dengan peratus hidup cuma 0.01% sahaja), namun alhamdulillah..sehingga ke hari ini dia masih ada bersama ibu.masih terus berjuang melawan setiap kesakitan yang mendatang.Masih meneruskan penerokaan dan pembelajaran agar tidak tersisih dari rakan seusia.

Alhamdulillah...wajah cekal itu selalu saja menggamit kasih dan sayang setiap mata yang memandang.Ibu, babah, cik til, tok abah, nenek, mak su, papa, pak ngah, pak uda, mak uda, pak uteh, pak itam dan seluruh keluarga kami menyayanginya.Ternyata, airmata yang setiap saat dulu mengalir dan doa yang tidak pernah putus ini dimakbulkan oleh Maha Pencipta.ibu  tak mahu aisya dipinggirkan kerana kekurangan yang ada pada dirinya (walaupun pada ibu, tidak pernah ada kekurangan pun pada aisya) Biarlah mata luar yang memandang pelik atau kata-kata luar yang menyakitkan bertanya tentangnya namun dia masih ada ramai yang menyayangi, yang melindungi dan yang ibu boleh harapkan sekiranya ibu tiada.

 "Moga aisya sentiasa berada dalam lindungan dan payung rahmat Illahi"

Monday, January 24, 2011

Masa itu belum lagi tiba.

Ingat lagi tak isu 'cikgu Su' (OT) aisya yang menyarankan agar aisya dihantar ke sekolah/nurseri bagi meningkatkan tahap perkembangan sosialnya selain untuk melatihnya bercakap?Memang ibu akui ibu turut teruja untuk menghantarnya bersekolah.Supaya aisya mempunyai ramai kawan.Juga supaya aisya belajar untuk berdikari( tanpa ada ibu dan cik til @ family lain yang 'terlalu melindunginya' -seperti yang dikatakan oleh cikgu Su.Setidak-tidaknya jika bersekolah, aisya pasti boleh belajar bercakap kerana ramai kawan yang bercakap disekelilingnya.Dan aisya MUNGKIN tidak lagi bermain berseorangan seperti sekarang jika ibu/babah/cik til sibuk dengan urusan di rumah.Ibu mahukan semua itu untukmu sayang NAMUN.............

Ibu perlu fikirkan semua kemungkinan yang bakal berlaku sekiranya aisya bersekolah.Dari sekecil-kecil risiko sehinggalah sebesar-besarnya.Kerana ibu tahu setiap kelemahanmu sayangku.Kerna cik til dah memberitahu yang dia tidak boleh menemanimu jika kau bersekolah nanti.Tanpa ada 'mata-mata' dari  kami keluargamu yang akan melindungimu ketika itu (sepanjang waktu sesi bersekolah).Ibu xmahu kau sakit.Ibu xmahu kau terluka dengan ketiadaan ibu/babah/cik til mahupun ahli keluarga kita yang sememangnya sangat paham tentang keadaan dirimu.Bolehkah cikgumu nanti menjagamu seperti kami menjagamu sekarang?Bolehkah cikgumu nanti memberikan tumpuan hanya padamu seorang sepanjang waktu persekolahanmu itu sepertimana yang kami lakukan sekarang untukmu sayangku?Tidakkah kawan-kawanmu itu nanti yang sememangnya NORMAL membulimu?Sudah pasti anak sekecilmu yang lembut, yang kecil molek, yang tidak pandai bersuara, yang tidak boleh berjalan menjadi tatapan mata dan bualan mereka.Dan bagaimana sekiranya terdapat virus-virus yang tidak diingini hinggap pada tubuh kecilmu yang sememangnya kurang dayatahan itu?

Aduhaii hati, mengapa selalu memandang serong pada orang luar?mengapa tidak boleh mempercayai mereka?mengapa tidak boleh membuka peluang itu pada aisya untuk mencuba?Ntahlah..mungkin masa itu belum lagi tiba!

Akhirnya keputusan telah ibu ambil.Ianya dibuat bukan hanya pada perasaan dan mengikut kata hati ibu semata.Malah pada semua pendapat ibu-ibu bloggers yang menelefon, menghantar email dan memberi komen.Juga pendapat keluarga dan rakan-rakan terdekat.Termasuklah faktor keselamatan, kesihatan dan keadaan aisya sekarang.Terima kasih atas pandangan kamu semua.Kamulah cabang dan ranting kekuatan saya untuk terus kuat berdiri tegak sehingga sekarang.Terima kasih.

"Aisya ibu tidak akan hantar ke sekolah/nurseri buat masa terdekat ini kerana dia masih kecil (belumpun 2 tahun wahai cikgu).Mungkin cadangan ini ibu akan pertimbangkan semula bila usianya menginjak ke 3@ 4 tahun nanti.Waktu itu dia dah besar sikit kan?Harapnya ketika itu aisya dahpun boleh berjalan dan bertutur walaupun hanya dua tiga patah perkataan."

* Jika cikgu mempersoalkan tentang peningkatan kendiri dan tahap perkembangan sosial aisya, termasuk kemahiran bertutur yang sememangnya ibu akui aisya masih jauh ketinggalan, ibu akan cuba sahut cabaran itu untuk ibu terus berusaha dan melipatgandakan latihan dan stimulasi aisya di rumah.Insyaallah..doa dari semua auntie's yang menyayanginya akan tetap mengiringi perjuangan anak kecil ini.Terima kasih semua :)

Bila kesakitan ini akan berakhir?

Lama x update blog...penyakit 'M' dah mula menular.Sepanjang masa tersebut, hanya ber'blogwalking' melawat blog kawan-kawan.

Aisya??seperti selalunya dia masih aisya yang sama.Seperti selalu...bila sihat, aktifnya bagai tidak pernah mengalami sebarang kesakitan.Meneroka setiap ceruk ruang yang ada di dalam rumah kecil kami itu.Di bawah meja makan,di atas sofa, di tepi kabinet baju kakak, di belakang pintu bilik cik til, di depan pintu peti ais, di depan ruang tv, di ruang bermain dan belajar kakak...semuanya ada kelibat aisya.Namun bila tiba kesakitan, tubuh itu hanya terbaring lemah di atas toto.Dan airmata ini turut sama mengalir melihat kesakitannya itu.Khamis lalu..aisya sekali lagi diserang 'sawan'.Sungguh ibu terkejut.Ingatkan sekiranya ubat (epilim) xpernah culas diambil mengikut aturan, sawan tidak akan datang.Namun syukur, kejadian itu tidak lama.Dalam ibu memanggil dan menepuknya dia kembali tersedar.Owh..walaupun hanya beberapa saat namun cukup membuatkan jantung ibu ini umpama berhenti berdegup.Tanpa demam, tanpa tanda, tanpa isyarat...ianya datang.Kasihan sungguh melihatmu anak kecil.Kalaulah sakit itu boleh diganti, mahu sahaja ibu menggantikanmu.Agar kau tidak perlu lagi menangis kesakitan menanggung penderitaan itu.



"Ya Allah..kau kuatkanlah semangat juang Ainur Ariana Damia ini menghadapi ujian dan dugaanMu.Hanya Engkaulah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Mengetahui.Hanya Kau yang tahu rahsia di sebalik semua ketentuanMu ini".
amin ya robbal alamin.

Wednesday, January 19, 2011

Bila si kecik dah pandai meniru si besar

Kejadian berlaku sewaktu kami sedang menikmati makan malam, malam tadi.Seperti biasa semasa kami makan aisya akan dibiarkan bermain (kerana aisya terlebih dahulu disuap makan oleh ibu sebelum kami semua makan-kes xde high chair nak bagi dia makan sama-sama).Siap jer cik til makan, cik til nak ke dapur(time tu ibu tgh syok lagi menikmati makanan) cik til datang balik kat ibu dan bagitahu suruh tengok apa aisya buat.Nak tahu apa aisya buat???Lihatlah sendiri gambar-gambar curi yang ibu snap nih :P

Ambil buku mewarna kakak dan mulakan menconteng.
Tergambar kesungguhan di situ.Sampai tertonggeng2.

Dah penat duduk, meniarap pulak :P (sila lihat tangan
kecil yang memegang pencil colour tuh, comel kan?)
Semoga jadi anak yang bijak.Sejuk perut ibu mengandungkanmu sayang.

Wahhh..nampak cam budak dah besar lak si kenit ibu nih(nak g school ke aisya?) Comel sangat tengok gelagat dia tuh.Sejuk rasa hati ini.Teruja giler ibu time nih.Huhuhu...
Mungkin selama ni dia tengok kakak dia buat camtuh sebab tu dia ikut.Tak lama pun dia camtuh...bila dia sedar segala perbuatan dia menjadi perhatian, intipan dan rakaman ibu, mulalah dia xnak mewarna dah.Selepas tuh dia duk sibuk nak kacau kakak aireen belajar pulak.Bila ibu ajak aisya main cantum-cantum puzzle dan masukkan gegelang dalam tiang, dia mainlah sekejap pastu nak kejar bola pulak.Ikutkan jelah..
Meh ibu bagi auntie2 semua saksikan gelagat budak kenit nih...dan kakak aireen yang sekarang ni rajin sangat nak belajar.

 

 
 

 
    


"Semoga anak-anak ibu menjadi anak yang bijak, berguna pada bangsa, agama dan negara serta berjaya dunia akhirat."
Aminnn.

Tuesday, January 18, 2011

Dilema Hati.Inginkan Yang Terbaik Untuknya..

Petang semalam aisya memenuhi sesi temujanji Fisioterapi dan OCCT nya.Oleh kerana temujanji bulan lepas tertunda akibat aisya ketika itu berada di unit kritikal maka temujanji kali ini agak merisaukan ibu.Takut aisya meragam dan buat hal xnak di terapi.Pada cik til ibu berpesan supaya aisya di beri susu dan tidur yang cukup sebelum jam 2 petang.(pagi ibu ke tempat kerja dahulu)Jam 1.30 ibu balik untuk mengambil aisya, dia masih lena tidur.Menurut cik til, aisya tidur dah lama lepas minum susu tadi.Jam 2 ibu kejutkannya dan tukarkan baju,pampers seterusnya ke hospital.

FISIOTERAPI
Tak banyak yang diperkatakan oleh 'cikgu'nya kerana aisya masih macam dulu.Takut-takut nak berjalan.Bila didirikan dan dilepaskan tgn, dia akan duduk.bila letak dipalang atau walker tolak tuh, xsampai 2 minit dia akan duduk dan mengengsot.bila dipaksa...mulalah kedengaran tangisan.Kesudahannya, cikgu cuma berpesan benda yang sama.'KENA LEBIH KERAP LATIHAN DI RUMAH' kerana katanya aisya boleh berjalan cuma dia xyakin jer.Beliau juga berkata aisya agak bernasib baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang mempunyai masalah sepertinya kerana sawan yang menyerang tidak membantutkan perkembangannya.Syukur yang tidak terhingga ibu panjatkan ke hadrat Illahi di atas segalanya.

OCCT
Tahun baru, cikgu yang mengajar pun baru.Kalau dulu cikgu dila (yang agak tegas ngan aisya -sebab setiapkali ke sini aisya pasti melalak sampai muntah dan langsung xnak buat apa-apa aktiviti) kali ni cikgu su (yang banyak bermain dengan psikologi).Alhamdulillah...dengannya semalam aisya langsung xmenangis.Aisya di beri cube-cube yang berwarna warni, piano berbunyi dan cermin.Oleh kerana aisya suka baling-baling so cikgu su turut bermain baling-baling cube dengannya dan aisya akan ketawa mengekek-ngekek (xsempat nak snap pic sebab ibu pun teruja tengok diorg main-main tuh.hihihik).Sepanjang sesi occt tu cikgu su banyak bertanya tentang masalah dan perkembangan aisya.Menurut dari pemerhatiannya, aisya ketinggalan 1 tahun berbanding usia sebenarnya.Aisya lebih suka bermain sendirian, low self confident(mungkin akibat terlalu dilindungi),belum boleh bercakap dan berjalan tapi penggunaan motor kasarnya bertambah baik (boleh pegang barang kecil, besar).Bila diajukan berkenaan 'kurang fokus', menurut cikgu su bayi berumur satu tahun atau kurang (ikut delay aisya) memang begitu.Mereka lebih suka bermain daripada mengikut arahan.So, perkara itu tidak perlu dibimbangkan sangat.Ibu perlu mendidiknya mengikut umur delay aisya bukan umur sebenarnya, aisya juga perlu dibiarkan berkawan dengan bayi yang berumur 1 tahun (umur delay) dan cikgu su turut menyarankan agar AISYA DI HANTAR KE SEKOLAH. Tujuannya untuk meningkatkan tahap kemahiran sosial aisya supaya dia bergaul dan belajar bercakap.Sekiranya ibu xmahu menghantar aisya ke taska/nursery, ibu boleh cuba menghantar aisya ke PDK.4 helai senarai PDK yang terdekat (area Selangor) diberikan oleh cikgu su kepada ibu.Kami meninggalkan bilik itu dengan lambaian dari aisya kepada cikgu barunya itu.

DILEMA
Sejak balik dari hospital sehinggalah ke saat ini ibu masih teringat-ingat kata-kata cikgu su supaya aisya dihantar bersekolah.Persoalannya, perlu ker ibu menghantarnya ke sekolah?Boleh ker aisya bersekolah?Aisya xpernah tinggal dengan orang lain sejak dia keluar NICU sehinggalah sekarang.Sekiranya dia ke taska/nursery -Ubatan dan puff yang berjadual pasti menyusahkan orang yang menjaganya.Sakitnya yang mungkin datang tanpa isyarat menakutkan ibu bila berlakunya kecemasan sedangkan orang lain (cikgu taska/nursery) tidak pernah menghadapinya.Tidakkah anak kecil (dengan berat 6.8kg) itu di buli oleh abang-abang, kakak-kakak atau rakan sebayanya yang pasti lebih besar dari dia?Boleh ker orang lain menjaganya sebaik selain kami keluarganya?Boleh ker orang bersabar sekiranya aisya mengalami amukan atau tangisan yang xmahu berhenti?Dan sekiranya dihantar ke PDK, ibu perlu mengambil cuti/masuk lewat setiap minggu untuk menemaninya di PDK.Sudahlah jadual temujanjinya paling sedikitpun 3 kali sebulan tidak termasuk yang berkala (paeds, telinga, mata,pertuturan, klinik kerajaan, IJN, HKL dll) Kalau dirangkum 1 bulan kesemuanya 10 appoinments!Mahu rasanya berkampung terus di hospital.

Bukan ibu xmahu berkorban malah sehingga saat ini pun ibu masih berkorban.Segala apa yang disaran @ dicadang TERBAIK untuk aisya ibu paksa diri ibu untuk lakukannya.Ubat yang terbaik,susu yang terbaik (tp skrg dah tukar ikut yang dia selera nak minum),mainan/alatan yang bagus untuk perkembangannya, tempat urut yang bagus, tempat berubat yang terbaik, air penawar, latihan latih tubi yang kadangkala dilihat agak memaksa untuk anak kecil itu, doa yang xpernah putus.Mental, fizikal, wang ringgit...apa lagi???(walaupun masih ada yang mengatakan ibu xpandai jaga anak, xsayang anak dan sebagainya.huhuhu) Sungguh kadangkala ibu stress sangat.

"Mohon agar diberi kekuatan dan kesabaran yang tinggi serta dipermudahkan segala jalan untuk kami".

 
 
 
     "Minta pendapat dari mommies semua adakah perlu aisya ibu hantar ke sekolah?"

Monday, January 17, 2011

Muka boy ke saya nih ?? ;P hihihik..


Ahad- semalam kami ada jemputan kenduri kahwin (rumah paman & bibik - makcik babah) di Sg.Merab, Bangi.Biasalah, kenduri kahwin sedara mara...pastinya di situlah tempat pertemuan semua kaum keluarga.Malah ada juga yang sebelum ni xpernah kenal baru nak berkenalan.hahahaha - kes jarang balik kampunglah nih.Keluarga mertua dari Johor juga turut serta dan bermalam di rumah kami.Dengan 4 keluarga di bawah satu bumbung pastinya rumah kami yang selalunya 'sunyi' menjadi riuh rendah.Sungguh seronok sekali dapat berkumpul sekali sekala begini.Hari tersebut aisya ibu pakaikan t-shirt dan jeans sahaja (sebenarnya sebelum ke sana aisya dah pakai gaun tp sebab dia mengengsot atas lantai, gaun tersebut kotor dan ibu tukar aisya ke pakaian t-shirt dan jeans sahaja.Lebih selesa dia nak mengengsot).Kat sana adalah dekat 6 ke 7 orang tok/nenek/makcik/pakcik yang menegur aisya nih lelaki.Huh..muka tomei tu pun orang sangka baby boy ye dik?hahahaha..agaknya sebab pakaian kot @ sebab hari tu ibu xikat rambut dan letak hairban / riben comei2 kat kepala dia? (dah letak sebenarnya tp dia cabut buang...grrr, gigit budak ni karang) Aisya-aisya..muka lelaki rupanya anak ibu.Patutlah sebelum ni pun ada 2,3 orang doktor yang cakap dia baby boy.Rupanya anak ibu nih memang ada muka boy kot.

 

Beberapa keping pics ragam aisya yang suka main sorang-sorang nih.Tengoklah reaksinya..pandai bawak diri, langsung xmenyusahkan orang lain.Itulah dia Aisya - ada rupa boy ke ni auntie2 sumer?? ;P