Showing posts with label Luahan Hati Ibu. Show all posts
Showing posts with label Luahan Hati Ibu. Show all posts

Thursday, March 3, 2011

Kami tidak minta takdir jadi begini..

~Sekadar nak meluahkan perasaan yang terpendam~

Yer..fikiran saya sekarang umpama dilanda taufan yang hebat.Rasa saya dah 'terduduk' hingga sukar benar untuk bangun.Hingga terdengar kata-kata jahat itu berbisik....meminta saya untuk terus duduk dan berehat. Dan pernah hati seakan mahu membawa diri ini jauh.Jauh dari semua ini.Ke tempat yang saya sendiri sebenarnya tidak pasti di mana.TIDAK! saya xmahu mengalah..saya xharus berputus asa.Saya perlu terus bangkit untuk memimpin tangan anak kecil saya agar terus melangkah kerana kami dah sampai ke tahap sekarang.Setelah kami terutamanya aisya berjaya melalui segalanya biarpun dalam pahit jerih yang tidak terkata.Walaupun kami sebenarnya dah terlalu letih, penat dan tidak bermaya untuk terus menerus begini.Kadang-kadang terasa saya selalunya memaksa diri saya, hakikatnya saya dah lemah.Saya rasa terlalu pedih dan parah saat ini.

Mengapa kami?mengapa mesti saya dan anak kecil saya yang tidak berdosa itu?Apa salah kami?Selalunya soalan itu berputar di fikiran tatkala kami diuji dan diuji dan diuji malah terus-terusan duji lagi.Namun dengan sedikit baki kekuatan yang ada, saya biarkan sahaja soalan-soalan itu bergantung.Kerana saya masih yakin kami tetap disayangi dan dilindungi OlehNYA.Kerana Allah itu ada bersama kami tapi hati ini masih tetap jua menangis.

Salah sayakah anak saya sakit?Salah sayakah kerana tidak pandai menjaga anak?Salah sayakah sekiranya semua ini terjadi pada anak saya?Saya sendiri tidak tahu.Saya tiada jawapan untuk itu.Adakala saya mengiyakan namun seringkali hati menidakkan.Soalan/kenyataan yang sama masih lagi melingkari malah menghantui saya setiap kali terjadi 'sesuatu' pada buah hati saya membuatkan saya lemas malah hampir tenggelam. 'Kau ni xhabis-habis anak sakit' atau 'Macam mana kau jaga anak?' atau 'Anak kecil macam tu pun kau tak boleh nak jaga elok-elok' atau 'Apalah nasib kau ni ye?' sungguh membuatkan saya terkilan dan 'down' sangat-sangat.Saya tidak pernah minta semua ini terjadi malah anak kecil saya juga tidak pernah mahu jadi seperti ini.Laungkanlah pada semua wanita yang bergelar ibu di muka bumi ini.Mahukah mereka anak yang sakit?Terpaksa berkejar ke sana ke mari setiap hari?Berulang alik ke hospital?Melalui banyak prosedur?Tentu jawapannya TIDAK bukan?.Saya tidak mahu rasa simpati itu.Tapi cukuplah sekadar diam kalau tak mahu menyokong.Pada siapa harus saya luahkan rasa hati ini??Saya benci dengan setiap titisan airmata ini tapi dialah teman setia saya setiap kali saya suka atau sedih.

"Ya Allah, tenangkanlah hatiku yang sedang dalam tidak keruan ini.Tebalkanlah imanku, kuatkanlah kesabaranku.Hanya Engkau Yang Maha Mengetahui.PadaMu hambamu yang lemah lagi hina ini bermohon'

p/s:Terima kasih kerana sudi meluangkan masa dan meminjamkan mata kalian untuk membaca luahan saya ini.Terima kasih atas sokongan dan semangat yang dipinjamkan.Saya tahu kalian sahabat yang memahami kerana kebanyakkannya adalah sealiran dengan saya.Saya senang bersama mereka yang senasib kerana 'kita sama'.Kekuatan yang hampir roboh saya cuba bina kembali biarpun retaknya masih jelas kelihatan.Saya lega setelah menulis di sini walaupun hati masih tetap terluka.

~Harapan seorang ibu yang punya anak istimewa~

Bercakap mengenai impian..pastinya semua ibu mahukan yang terbaik untuk setiap anak mereka.Setiap pencapaian dan perkembangan begitu dibanggakan.'Anak saya dah pandai baca umur 3tahun,' 'anak saya dah pandai buat itu', 'anak saya dah pandai buat ini'.Malah ibubapa mula merangka impian yang lebih besar pada masa depan anak-anak mereka.Doktor, peguam, pensyarah dan berbagai lagi jenis pekerjaan yang bagus-bagus.Itu lumrah kehidupan.Tiada manusia yang mahukan keburukan untuk anak mereka.Tiada ibubapa yang memikirkan keburukkan tentang anak mereka.Semuanya mahukan yang tercantik, terindah dan terbaik dalam kanvas kehidupan anak-anak mereka.

Saya?sebagai seorang ibu, pastinya saya juga seperti mereka.Mengharapkan anak-anak saya berjaya tak kira walau apa pun bidang yang mereka ceburi.Namun saya sedar, anak saya (saya bercakap tentang aisya, bukan kakak aireen) bukanlah seperti anak tipikal lain yang tiada sebarang masalah kesihatan malah ada 'kekurangan'sejak dari lahir.Saya cukup sedar tentang hakikat tersebut.Pada awal kelahirannya sehinggalah usianya setahun, saya begitu berharap agar anak ini mampu duduk dan bergerak seperti anak-anak lain.Tidak perlu terbaring sepanjang masa.Masuk ke usia dua tahun, setelah anak itu berjaya melakukan apa yang saya mahu-duduk, mengengsot dan kini hampir berjalan, saya bina lagi impian lain.Kali ini agar dia boleh bertutur, melihat seterusnya mendengar dengan lebih baik.Pelik bukan?Bagi orang lain sepatutnya usia begini mahukan dia pandai itu ini.Itu kerana anak mereka 'cukup' pakej.Impian saya agar tiada 'kekurangan' yang terlihat pada wajah comelnya, pada tubuh kurusnya malah pada dirinya yang kecil itu.Saya tak mahu dia tahu bahawa dia punya kekurangan dan kecacatan.Saya tak mahu dia rasa terpinggir hanya kerana kekurangan yang ada padanya.Kerana semua itu bakal merosakkan semua impian saya yang pastinya lebih tinggi bila dia besar nanti.Saya mahu anak saya berjaya!Berjaya dalam ertikata lain dia mampu hidup seperti anak-anak tipikal lain yang sempurna.Saya tidak harapkan dia menjawat jawatan yang tinggi tapi cukuplah dia mampu berdikari dan menjaga dirinya sendiri tanpa perlu mengharapkan orang lain.Itu adalah satu kejayaan besar dirinya buat saya untuk dibanggakan.Dan adalah satu bonus yang tidak ternilai andainya anak saya ini boleh setanding dengan mereka-mereka yang tipikal.Oleh itu, dari awal dulu saya dah setkan otak saya 'USAHA SAYA PERLU LEBIH DARI YANG SEPATUTNYA' walaupun berkali-kali kami perlu mengulanginya semula dan cepat bangkit jika terjatuh lagi.Walaupun seringnya kedengaran saya dituduh terlalu memaksa anak...terlalu berkeras dengan anak dengan segala usaha-usaha tersebut.Maaf kepada yang berkata, saya ibunya....saya tahu tahap kemampuan anak saya.Saya yakin anak saya boleh! Sebagaimana 'bukti-bukti' yang telah dia tunjukkan sebelum ini.Dan doa yang xpernah putus agar dirinya dikurniakan kesihatan yang baik selalu.Semoga segala perjalanan kami menuju kearah impian-impian tersebut dipermudahkan.Amin.

Monday, February 21, 2011

Layakkah saya digelar kuat? Maaf, saya tidak kuat! Yang kuat adalah dia...

Sebenarnya dah lama entry nih saya tulis (kira-kira 2 bulan lepas -iaitu selepas siri aisya admit wad selama 9 hari akibat diserang sawan)..dan sehingga kini saya masih lagi berkira sama ada mahu mem'publish'kannya atau tidak. Akhirnya setelah menimbang semasak-masaknya, saya rasa xsalah jika saya luahkan pada semua. Ini adalah memberi kenyataan balas terhadap semua komen, email dan pertanyaan yang telah diutarakan.
Kawan-kawan selalu sahaja mengatakan saya kuat..tabah, cekal. Luaran saya yang happy go lucky sering sahaja menggambarkan saya bagai xada masalah. Celoteh mulut saya dianggap ceria :) Ya, saya bukanlah seorang yang mudah menangis di hadapan orang lain melainkan jika hati benar-benar tersentuh. Hakikatnya?? Hanya tuhan sahaja yang mengetahuinya. Layakkah saya digelar kuat hanya kerana kelemahan yang terselindung itu? Kerana tanpa orang lain tahu sehingga ke hari ini saya masih lagi menitiskan airmata setiap kali memandang anak kecil saya itu apatah lagi bila memikirkan masa depannya. Seringnya saya tewas dengan airmata ketika dalam perjalanan pergi balik ketempat kerja-layan lagu time driving sorang-sorang, ketika mandi, ketika aisya xdapat melakukan perkara mudah yang saya ajar padanya, ketika aisya menunjukkan apa yang dia dah boleh lakukan (cth jalan aritu), ketika sujud kepadaNYA dan ketika berdoa memohon agar anak saya itu dilimpahkan redha dan rahmat dariNYA.
Ramai mengatakan saya seorang ibu yang kuat setelah membaca pelbagai kisah suka duka yang saya coretkan di blog ini berkaitan anak OKU/istimewa/cacat atau pelbagai lagi perkataan enak yang dilemparkan keatas anak comel saya sejak kelahirannya ke dunia ini. Berat mata yang memandang, pedih telinga yang mendengar tapi berat lagi hati saya yang menanggungnya. Tidak! saya tidak pernah menganggap kehadirannya dalam hidup saya sebagai satu beban malah saya berbangga dengan kehadirannya. Saya tidak kuat. Saya hanya menelusuri jalan yang telah tertulis untuk kami. Saya cuma berusaha untuk anak-anak saya. Dalam hati dan fikiran ini, saya hanya mahu yang terbaik untuk mereka. Saya buat apa sahaja yang saya belajar, dengar, baca serta fikirkan baik buat anak-anak saya. Saya ikut kata hati saya sebagai seorang ibu. Saya akui saya sebenarnya garang dengan anak-anak. Kalau boleh saya mahu mereka cepat belajar apa yang saya ajarkan (cth kakak : belumpun umur 2 tahun dah tahu baca A-Z, 1-10,Alif -Ya, beberapa doa ringkas, ulang baca cerita untuk ibu dan faham makna beberapa sebutan dalam B.Ing yang mudah). Awalnya saya juga mahu aisya seperti itu. Saya pernah stress dan menangis kerana berkali-kali saya dirikan aisya untuk melangkah namun dia duduk semula. Saya pernah menangis setelah memaksa aisya memanggil saya 'IBU' tetapi dia hanya diam membisu memandang muka saya. Biarpun ada ketikanya saya pernah jatuh tersungkur, terlentang, tertiarap tapi dengan semangat darinyalah saya kembali bangkit. Jatuh bangun adalah lumrah. Putaran itu seringnya berlaku dalam diari hidup seorang ibu seperti saya. Sukar mencari perkataan yang sesuai untuk saya ceritakan bagaimana betapa sakitnya, peritnya dan retaknya hati seorang ibu ini tatkala melihat kesakitan yang pernah anak kecil saya itu alami apatah lagi bila satu demi satu berita tentang kesakitannya dikhabarkan pada saya. Hancur remuknya hati saya pabila terpaksa mendengar berita demi berita yang mungkin berlaku pada anak saya seawal usianya lagi. Namun hati kecil saya selalu sahaja berbisik...insyaallah, Allah selalu ada bersama saya. Mungkin sekarang saya susah tapi akan datang anak inilah yang akan menyenangkan saya. Dan pasti ada rahmat yang diturunkan oleh Allah di atas kehadiranya kepada kami :) Saya yakin jika kalian berada dalam kedudukan seperti saya, sudah pasti kalian juga akan jadi seperti saya.
Yang kuat adalah anak kecil saya, aisya. Dalam usianya yang baru menginjak ke angka -2 itu, dia telah melalui pelbagai pahit getir ujian kehidupan. Berjuang dengan maut semasa kecil, pernah bergantung dengan mesin hayat, pernah merasai setiap kesakitan yang mungkin antara kita belum pernah melaluinya, pernah menjalani 2x pembedahan jantung yang nampak menyeksakan bagi kita yang tidak pernah merasainya, dicucuk seluruh salur darah yang ada - kesannya masih ketara di kaki tangannya sehingga kini, masih tanpa jemu terpaksa memenuhi setiap temujanji demi temujanji, ujian demi ujian yang dicadangkan keatasnya malah tanpa jemu, culas dan sebarang alasan terpaksa memenuhi jadual/program latihan yang saya ibunya sediakan sedangkan bagi seoarang anak kecil yang sebaya dengannya sepatutnya pada usia begini sedang riang berlari bermain meneroka dunia. Itulah dia aisya, anak kecil saya yang kuat, bukan saya ibunya yang hanya meminjam sedikit kekuatan yang ada darinya. Terima kasih atas sokongan dan dorongan dari kalian!
                                     Inilah dia anak kuat saya. hanya dia yang layak digelar kuat.

Thursday, February 17, 2011

Kematian itu pasti tiba dan seringnya doa saya xpernah putus agar 'pinjaman' ini dipanjangkan tempohnya selama yang mungkin.

Tadi saya terima satu message yang mengejutkan daripada K.Nor, teman saya sewaktu kami sama-sama menunggu permata hati masing-masing di IJN untuk menjalani pembedahan (pada tahun 2009) mengatakan bahawa anaknya (darling) perlu dibedah sekali lagi dalam masa terdekat kerana pembedahan lama mengalami komplikasi (anak k.nor mempunyai masalah injap rosak - di tukar dengan injap lembu dan jantung berlubang yang kronik) Secara tiba-tiba kenangan di IJN menjelma dalam ingatan saya. Kami satu bilik malah bersebelahan katil. Satu bilik ditempatkan 4katil iaitu saya(aisya), k.nor(darling), k.zura(nafeesa), k.imah(danny). Ketika itu, hanya pada teman-teman dalam biliklah kami mengadu resah. Setiap luahan dan tangisan yang membasahi pipi, kami tidak pernah malu kerana kami senasib dan saling memahami. Jika seorang menangis, maka yang lainnya akan turut sama mengalirkan airmata. Malah ada ketika merekalah yang akan memeluk dan memberikan saya bahu mereka untuk dibasahi bagi menenangkan saya yang paling muda dan paling 'cembeng' antara mereka (thank's k.zura- you are like my mother). Sungguh terasa akrabnya kami waktu itu. Jika saya ke surau untuk solat, atau keluar untuk mandi/ke tandas, atau keluar untuk mengambil susu perahan saya di peti ais dan memanaskan susu untuk aisya, mereka dengan rela hati membantu saya menjaga aisya. Sungguh, hubungan yang terjalin walaupun tanpa sebarang ikatan darah ini sangatlah bermakna dan tidak akan saya lupakan seumur hidup saya apatah lagi hingga kini hanya aisya dan darling anak k.nor sahaja yang tinggal untuk terus berjuang demi meneruskan kehidupan di bumi Allah ini.
Kematian demi kematian ke atas 'anak-anak' saya (anak k.zura dan k.imah) hampir melemahkan saya. Arwah danny anak k.imah meninggal sewaktu usianya 19 bulan, setelah 3 bulan menjalani pembedahan manakala arwah nafeesah anak k.zura yang paling rapat dengan saya malah nafeesa sama-sama masuk ke dewan pembedahan dengan aisya, pergi meninggalkan kami sewaktu berusia 8 bulan iaitu  5 bulan selepas pembedahan demi pembedahan yang dijalankan ke atasnya akibat pelbagai komplikasi. Yang paling sedih seumur hidupnya dia hanya pulang ke rumah 1 hari setengah sahaja. Selebihnya hari-hari yang dilalui hanya di wad, ICU dan dewan bedah (IJN-Hosp.Putrajaya-HKL)
Arwah Arissa-zaidah, puteri kesayangan saya yang sama-sama bermastautin di NICU (satu bilik ngan aisya selama +- 4 bulan ~muda 2 bulan dari aisya) juga pergi meninggalkan kami. Selain k.zura, zaidah adalah bestfriend saya sejak di NICU sehinggalah kami sama-sama membawa anak kami keluar dari NICU (18/9/2009-2 hari sebelum sambutan hari Raya Aidilfitri). Setiap masa kami berbalas pesanan bertanyakan khabar dan ada ketika kami bertemu sewaktu temujanji di hospital. Kehilangannya ketika berusia 11 bulan sangat mengejutkan saya kerana 2 hari sebelum pemergiannya saya masih berbalas pesanan bertanya khabar arissa dan bertukar gambar si kecil dengan zaidah. Perginya hanya kerana demam. Sungguh, pemergiannya saya tangisi melebihi mummynya sendiri.
Berita-berita kematian yang saya terima itu automatik mengingatkan saya pada aisya. Saya akui saya juga pernah membayangkan saat seperti itu.. andainya terjadi pada anak kecil kesayangan saya. Mampukah saya melaluinya? Tapi melihat pada kekuatan aisya, hati saya bertambah yakin bahawa anak saya mampu meneruskan. Anak saya anak yang kuat! Maka saya juga perlu kuat dan berusaha mengubatinya.
Saya xmahu kesakitan itu ada lagi padanya. Saya tak mahu lagi menyaksikan detik-detik 'seksa' anak saya yang perlu bergantung hidup dengan bantuan mesin hayat! Telinga saya perit untuk mendengar bunyi-bunyi mesin yang ada di sekeliling anak saya, mata saya pedih melihat wayar-wayar yang berselirat di badan anak saya. Saya serik untuk melihat wajah lesu kepucatan anak saya yang menahan kesakitan dan saya juga xsanggup lagi untuk mendengar desah nafas serta tangisan halus dari mulut kecil itu seumpama mahu menceritakan kesakitan yang ditanggungnya. Saya sakit setiap kali melihat kesakitan dia. Sumpah...jika saya di beri pilihan lain saya tidak mahu anak saya melaluinya sekali lagi. Namun, saya hanya mampu berdoa, meminta agar dijauhkan. Kematian itu pasti tiba dan seringnya doa saya xpernah putus agar 'pinjaman' ini dipanjangkan tempohnya selama yang mungkin.

Pada k.nor - saya doakan agar segalanya selamat dan dipermudahkan. Sabar dan kuat ye kak. Andai kita dekat, pasti bahu ini saya sandarkan buat akak seperti dulu-dulu.
Pada darling - Darling anak yang kuat kan? Ingat kata-kata yang acik ayu pernah bisikkan di telingan darling dulu? Jangan sesekali putus asa. Terus kuat dan kuat tau. Doa Acik ayu sentiasa ada untuk darling. Insyaallah, acik ayu datang lawat darling nanti.
Pada k.zura, zaidah & k.imah - kalian tetap ada dalam hati saya. Terima kasih atas semangat dan kekuatan yang telah dipinjamkan. Semoga kalian tenang dan bahagia selalu. 'Keep in touch ya sis'.

4 September 2009 - Pediatrik Intensif Care Unit (PICU)
Pada anak-anak ibu yang telah menjadi bidadari syurga, xpernah putus doa ini ibu utuskan untuk kalian. Semoga kalian tenang di sana. Bergembira dan berbahagialah di sana sementara menunggu untuk menjemput kedua orang tua kalian nanti. Alfatihah.

Wednesday, February 2, 2011

Pertuturan...

Beberapa hari lepas saya ke Perfect ENT, Hearing and Speech Centre. Sebenarnya tujuan ke sana untuk mengambil hearing aid aisya yang di hantar servis 2 minggu lepas. Semasa di sana saya sempat berbual bersama dengan salah seorang audiologist yang sememangnya dah biasa dengan kami. Kebetulan tiada patient waktu itu. Perbualan kami yang mulanya berkisar dengan kesihatan aisya akhirnya melarat pada luahan perasaan saya berkenaan pertuturan aisya. Sungguh seperti yang saya pernah ceritakan..aisya jarang sekali membuat bunyi. Dia hanya diam bermain sendirian dan sesekali menjerit bila marah. Andai ada sesuatu yang diingini, dia akan menarik tangan kita dan menunjukkan ke arah apa yang dia nak atau tangan kecilnya itu akan menepuk nepuk kita untuk memberitahu sesuatu. Namun apabila menangis, teriakan dan laungan kuat bergema. Ntahlah..terus-terang sebenarnya saya risau sangat dengan keadaan tersebut(sebak mula meraja..payahnya saya bila bercerita pasal aisya, airmata pasti xpernah culas mengiringi. Andainya saya punya hati kering..sudah pasti saya xperlu sesakit ini). Menurut audiologist tersebut, insyaallah..sekiranya sering di ransang, aisya boleh bercakap kerana aisya bukan xdengar langsung namun sememangnya ia terlalu menuntut kesabaran dan waktu. Audiologist tersebut juga ada mencadangkan agar aisya dihantar ke kelas pertuturan persendirian /swasta dan jangan terlalu bergantung pada kelas terapi pertuturan di hospital kerajaan. Tahu sahajalah temujanji pertama di hospital untuk terapi pertuturan memakan masa lebih setengah tahun dan temujanji ulangan lebih 3 bulan sekali. Itu pun hanya untuk 1 jam setiap sesi. Satu jangkamasa yang xpraktikal bagi saya untuk anak kecil itu improve. Bukankah lebih baik dibuat kerap dan berterusan? Baliknya, saya singgah ke beberapa pusat pertuturan yang berdekatan untuk bertanyakan tentang itu. Masalahnya..yuran yang dikenakan sangat tinggi. Paling murah yang kami tanya, untuk sesi selama 1 jam bayarannya RM150. Mungkin kami mampu untuk membawanya sekali dua sebulan tapi apalah bezanya dengan terapi pertuturan di hospital jika peruntukan masa tersebut lebih kurang sama? Setidak-tidaknya aisya perlu ke terapi pertuturan setiap minggu. Owh...andainya saya mampu. Segalanya saya mahu tunaikan asalkan aisya dapat ke sana. Belajar bertutur secara berkesan selain kami juga melakukan latihan tersebut di rumah. Teringin sekali hati ini mendengar panggilan 'IBU' dari mulut seorang anak yang kini berusia hampir dua tahun! Ibu rindu panggilan itu darimu anakku.